^^ sekadar perkongsian kte bersama ^^
Suatu hari ada seorang
lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak!
Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah
mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima
lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama,
jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar
itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan?
Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim
bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan
rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau
mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu
terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai
Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di
bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia
kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu
masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat
oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai
Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"
"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan
maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang
keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut
datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu.
Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu
menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin
malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini
bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu
bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?"
Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang
hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut
bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak
kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air
matanya bercucuran. "Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah."
katanya sambil terisak-isak.
No comments:
Post a Comment